Jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat…
Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyuman itu ada dua:
Senyuman pertama kerana mendapat kegembiraan, manakala senyuman kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.
Senyum untuk menggembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadith, sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:
“Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedeqah.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain, insyaAllah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah Ta’ala.
Bijak pandai sering mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang yang berada di samping kita tidak bahagia. Ertinya, kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.
Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Ya, kita penat memerah keringat. Ya, kita penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?
Semua itu bukan milik kita… segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima.Allah memberi untuk kita memberi.
-petikan dari majalah Solusi isu no. 14 :)
